03-6735 7331 / 010-4036 786 daurahharamain@gmail.com

BIOGRAFI ULAMA: SYEIKH YUSUF AN-NABHANI

بسم الله الرحمن الرحيم

Yusuf Ulama

Syeikh Yusuf bin Ismail An-Nabhani

(Sumber: http://zulfanioey.blogspot.my/2011/12/al-syaikh-yusuf-nabhani-ra.html)

Assalamualaikum semua. Kembali kita ruangan ‘Kenali Ulama’ pada kali ini membincangkan seorang tokoh dan ulama besar Ahli Sunnah wal Jamaah yang bernama Syeikh Yusuf An-Nabhani. Beliau seorang yang alim, warak, pemberi hujah dan ahli ibadah. Syeikh Yusuf An-Nabhani juga sering menzahirkan cinta dan pujian kepada Nabi Muhammad SAW dalam bentuk tulisan dan kumpulan syair. Masyhur sebagai cendekiawan dan penghujah yang mempertahankan  Kerajaan Uthmaniyah dan amat berpengaruh dalam ilmu tasawwuf dan kesufian pada abad ke-19 dan ke-20 ini.

LATAR BELAKANG SYEIKH YUSUF AN-NABHANI

Nama penuh beliau ialah Nasiruddin Yusuf bin Ismail bin Yusuf bin Muhammad An-Nabhani, beliau berketurunan Bani Nabhan iaitu salah satu suku Arab Badwi yang tinggal di Ijzim, sebuah kampung di bahagian utara Palestin, daerah Haifa yang termasuk dalam wilayah Akka, Beirut.

Beliau dilahirkan pada 1265 H / 1849 M dan dibesarkan di Ijzim. Dia menghafal Al-Quran dengan berguru kepada ayahnya sendiri iaitu Ismail bin Yusuf, seorang Syeikh yang berumur 80 tahun. Pada usia yang lanjut, beliau dikurniakan Allah kecerdasan, pancaindera, kekuatan dan hafalan yang sempurna. rajin beribadat dan bacaan Al-Quran yang bagus.

Setiap tiga hari sekali, ayahnya akan mengkhatamkan Al-Quran sehingga tiga kali seminggu. Keistimewaan dan kelebihan ini sangat mempengaruhi pembentukan dan pertumbuhan peribadi Yusuf An-Nabhani yang selalu dibekalkan dengan keberkatan dan ketakwaan ayahnya yang salih dan dari kalangan keluarga yang bersih dan suci.

PENDIDIKAN SYEIKH YUSUF AN-NABHANI

Selesai mengkhatamkan pengajian Al-Quran,terus melanjutkan pelajaran di Al-Azhar ketika berusia 17 tahun. Beliau tekun belajar dan menggali ilmu dengan baik daripada Imam-Imam besar dan para alim yang kritis serta pakar ilmu syariat dan bahasa serta empat Imam Mazhab. Beliau dapat bimbingan daripada orang-orang yang berilmu tinggi yang menguasai ilmu naqli dan aqli sehingga sebati dalam dirinya. Kemudian lulus daripada Al-Azhar pada umur 23 tahun.

Selepas itu, beliau kembali ke Ijzim dan Akka lalu memulakan kelas pengajian agama disana. Beliau kerap ke Beirut dan Damsyik untuk menemui ulama dan tokoh ilmuan seperti Ketua Qadi Damsyik, Syeikh Mahmud Effendi Hamza yang mengajarnya hadis Sahih Bukhari dan mendapat ijazah dalam bidang hadis.

KARYA-KARYA SYEIKH YUSUF AN-NABHANI

Karyanya begitu berkualiti tinggi dan banyak diterbitkan. Beliau juga membenarkan sesiapa sahaja menerbitkan semula karya-karyanya supaya dapat memberi manfaat kepada setiap Muslim dengan syarat ia dilakukan dengan teliti. Beliau dikatakan mendapat ilham daripada Allah dalam mengarang kitab-kitab itu antaranya hadis, sejarah Nabi, tafsir, pembelaan terhadap Islam, pujian kepada Allah SWT, kisah wali-wali Allah dan sebagainya. Berikut adalah antara senarai karya kitab beliau:

  1. Sa’adah Ad-Daarain
  2. Hadi Al-Murid
  3. Jami’ Karamah Al-Auliyak
  4. Khulasah Al-Kalam
  5. Sawahid Al-Haq
  6. Hujjat-Allahi ‘Ala Al-‘Alamin
  7. Jawahir Al-Bihar
  8. Wasail Wusul ila Syamail Ar-Rasul
  9. Riyadh AL-Jannah
  10. Anwar Al-Muhammadiyah
  11. Fadhail Al-Muhammadiyah

GURU-GURU / MASYAIKH

  1. Yusuf Al-Barqawi
  2. Abdul Qadir Ar-Rafi’i Al-Hanafi
  3. Abdurrahman As-Syarbini As-Syafi’i
  4. Syamsuddin As-Syafi’i
  5. Abdul Hadi Naja Al-Ibyari
  6. Hassan Al-Adwi Al-Maliki
  7. Ahmad Al-Ajhuri As-Syafi’i
  8. Ibrahim Az-Zuru Al-Khalili As-Syafi’i
  9. Al-Muammar Sayyid Muhammad Damanhuri
  10. Ibrahim Saqa
DETIK-DETIK KEWAFATANNYA

Di akhir hayat, beliau banyak menghabiskan masanya dengan melakukan ibadah dan mengarang kitab. Beliau wafat di Beirut, Lubnan pada awal Ramadhan 1350 H / 1932 M. Cucunya yang terkenal iaitu Syeikh Taqiuddin An-Nabhani.

والله اعلم بالصواب

Rujukan:

1) Biografi Ulama Tersohor, Mohd Faizal Harun.

daurahharamain.com

WhatsApp WhatsApp Kami!