03-6735 7331 / 010-4036 786 daurahharamain@gmail.com

بسم الله الرحمن الرحيم

ISRAK & MIKRAJ – 27 REJAB

Israk & Mikraj

(https://www.slideshare.net/ziyah84/power-point-israk-mikraj)

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada posting kali ini kita akan membincangkan mengenai peristiwa agung didalam Islam iaitu Israk dan Mikraj yang merupakan salah satu daripada syariat yang agung. Sebab apa? Kerana pada peristiwa inilah Nabi Muhammad diperintahkan untuk menunaikan Solat Fardhu sebanyak 5 waktu sehari. Dan diantara intisari ialah penyucian hati Nabi Muhammad SAW.

InsyaAllah kami akan fokus kepada peristiwa dada Nabi yang mulia dibedah dan juga pensyariatan Solat lima waktu kepada kita secara ringkas.

Allah berfirman:

ذلك ومن يعظم شعائر الله فإنها من تقوى القلوب

” Demikianlah (perintah Allah) Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati “

 

Oleh kerana peristiwa Israk & Mikraj ini merupakan salah satu syariat terbesar didalam Islam kerana didalamnya adanya pensyariatan Solat oleh Allah kepada utusannya Nabi Muhammad SAW. Menurut Tafsir Al-Qurthubi, kata Ibnu Abbas dan Mujahid ayat ini menjelaskan apabila kita membesarkan sesuatu pensyariatan bersama pengharapan ganjaran termasuk daripada ketaqwaan didalam hati.

 

APAKAH BOLEH KITA MERAIKAN ISRAK & MIKRAJ?

 

Ia adalah sesuatu yang sangat baik sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah yang tidak terhingga dengan kedatangan Rasulullah SAW sebagai utusan dan penerima syariat Solat 5 waktu. Ianya juga sebagai mengagungkan Rasulullah dan mengenangkan jasanya sambil mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa Israk & Mikraj. Firman Allah:

وذكرهم بأيام الله إن في ذلك لأيات لكل صبار شكور

” Dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur ” (Surah Ibrahim: 5).

 

Apa yang dimaksudkan dengan hari-hari Allah itu adalah peristiwa yang terjadi kepada kaum terdahulu. Umat Nabi Musa disuruh Allah untuk mengingati peristiwa-peristiwa yang lalu baik berupa nikmat atau azab Allah. Tiada ketentuan syariat untuk memperingatinya. Oleh itu ianya boleh dilakukan sama ada secara individu atau berjemaah.

Israk dan Mikraj termasuk didalam hari-hari Allah sebagaimana yang telah disebutkan dan waktu yang tepat untuk meraikannya  adalah pada hari yang diturunkan kepadanya. Berkaitan TARIKH ISRAK & MIKRAJ, Ulama berselisih pendapat mengenainya. Masyhur mengatakan pada bulan Rejab. Ada berpendapat Ramadhan dan Rabiul Awal.

Berkenaan harinya ada Ulama mengatakan pada malam Isnin, hari Hijrah Nabi dan sebagainya. Namun yang masyhur di Malaysia adalah pada 27 Rejab sebagaimana dikatakan oleh Imam An-Nawawi, Ibnu Abdul Barr, Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani dan lain lain. Tarikh tidak penting, yang penting adalah isinya.

JAWAPAN MANTAN MUFTI NEGERI KEDAH

Hukumnya adalah bidaah kerana tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Tetapi bidaahnya adalah bidaah hasanah kerana didalamnya mengandungi berbagai-bagai kebaikan yang akhirnya kembali faedahnya kepada masyarakat umum seperti menzahirkan kecintaan dan kesukaan serta mengagungkan  syiar Islam dan Rasulullah itu sendiri. Sebagaimana sabdanya:

من أحبني كان معي في الجنة

“Sesiapa yang cinta aku (Nabi Muhammad) adalah dia akan bersama aku di syurga” (Hadis Riwayat Tirmizi, Thabrani, Lalikai, As-Suyuti).

 

PERISTIWA ISRAK & MIKRAJ

قال الله تعالى: سبحان الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام الى المسجد الأقصا الذي باركنا حوله لنريه من ءايتنا إنه هو السميع البصير

” Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat “

Asbab Nuzul: Diturunkan ayat ini bagi menyangkal orang Musyrikin dan para pendusta apabila dikhabarkan kepada mereka oleh Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa Israk & Mikraj. Lafaz سبحان الله itu sendiri untuk menyucikan Allah daripada sifat-sifat yang menghilangkan dan menjatuhkan status Allah sebagai Tuhan bukan insan.

Peristiwa Israk & Mikraj berlaku setelah Nabi kita Al-Musthafa Muhammad kematian orang yang terlalu Baginda sayang iaitu kematian isterinya yang pertama iaitu Sayyidatina Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.

Ditanya Nabi apakah maksud سبحان الله maka dijawab oleh Nabi Muhammad SAW : (تنزيه الله من كل سوء): “Menyucikan Allah daripada segala kekurangan”. Lafaz أسرى pula membawa maksud perjalanan di malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Manakala بعبده  membawa maksud hambaNya terkena kepada Nabi Muhammad SAW.

Telah diriwayatkan bahawa ketika mana Nabi sampai pada martabat yang paling tinggi dan paling agung pada peristiwa Mikraj, Allah telah mewahyukan kepada baginda: ” Wahai Muhammad apakah Aku memuliakan kamu? Nabi menjawab: “Dengan pengisbatan diriku kepadaMu  dengan sifat ‘ubudiyyah (kehambaan)”. Lalu diturunkan ayat ini.

GELARAN HAMBA

Pengisbatan Rasulullah kepada Allah dengan makna kehambaan adalah SETINGGI-TINGGI kemuliaan terhadap Nabi Muhammad, kerana baginda dengan khususnya disebut dalam ayat ini sebagai hambaNya.

Seluruh Ulama telah bersepakat bahawa perjalanan Israk & Mikraj Nabi adalah bersama roh dan jasad baginda secara jaga dan ianya bukanlah dalam mimpi dan sebagainya. Antara HIKMAH perjalanan Nabi ini bersama roh dan jasad secara jaga kerana membuktikan mukjizat yang dikurniakan Allah bagi baginda sebagai tanda bukti kerasulan Nabi.

Yang keduanya, jika dikatakan ianya mimpi maka tasawwur (gambaran) orang Arab tidak akan mempercayai langsung apa yang disampaikan oleh Nabi. Ini kerana mimpi itu mainan tidur sahaja maka ianya boleh jadi betul dan salah. Ini akan merencatkan perjalanan dakwah Nabi. Dan perkara ini boleh diterima aqal kita sendiri kerana kita YAKIN ALLAH berkuasa untuk melakukan semua perkara hatta perkara yang dianggap mustahil nisbah kepada adat/uruf.

Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah: (ولقد رءاه نزله أخرى عند سدرة المنتهى)  “Dan sungguhnya, dia (Muhammad) telah melihatnya (dalam rupa yang asli) pada yang lain. Iaitu di Sidratulmuntaha”. Penglihatan Nabi Muhammad terhadap perkara-perkara ghaib telah dibentangkan kepada baginda. Ini menunjukkan bukanlah dalam perjalanan ini dalam mimpi namun ianya benar-benar berlaku secara jaga.

PERISTIWA DADA NABI DIBELAH

Sebelum peristiwa Israk & Mikraj berlaku, berlakunya peristiwa dada Nabi dibelah oleh Malaikat Jibril dan ditemani Malaikat Mikael. Dan setengah ulama, Jibril juga ditemani oleh Israfil. Diperselisih Ulama akan tempat berlakunya peristiwa tersebut. Ada yang kata di rumah Ummu Hani, Masjidil Haram dan sebagainya.

Kata Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki Al-Hasani didalam Al-Anwar Al-Bahiyah: Dada Nabi dicuci sebanyak 4 kali iaitu:

  1. Ketika Nabi kecil (di Bani Saad)
  2. Ketika 10 tahun
  3. Semasa diutus sebagai Rasul
  4. Malam Israk & Mikraj

Pembelahan dada ini adalah belahan yang sebenar lagi hakiki bukanlah tafsiran atau takwilan. Ini menunjukkan kebesaran kekuasaan Allah yang boleh lakukan apa sahaja. Perkara ini mencarik adat tidak dapat ditembusi oleh akal. Hanya keimanan sahaja dapat membenarkannya. Jibril mengeluarkan jantung Nabi Muhammad SAW, dan dibasuhnya dengan air zamzam sebanyak 3 kali. Rasulullah bersabda:

“Telah dibuka bumbung rumahku ketika aku di Makkah, kemudian telah turun Jibril lalu membedah dadaku dan membasuhnya dengan air zam-zam kemudian dia (JIbril) telah datang membawa bekas yang dibuat daripada emas yang dipenuhi dengan hikmah dan keimanan maka dia menuangkannya ke dalam dadaku dan menutupnya (memulihkannya) semula” (Riwayat Imam Muslim).

Maka tatkala dikeluarkan jantung Nabi yang mulia, terdapat suatu bintik hitam di hati Baginda. Kemudian kata Jibril “Inilah bintik syaitan yang ada didalam hati kau (Nabi Muhammad)”.Ianya satu tempat dimana berlakunya didalam hati Nabi akan keraguan dan was-was. Dibuang bintik tersebut dan disiram dengan air zam-zam supaya dipenuhi dengan RAHMAT ALLAH.

Dan rahmat inilah merupakan rahmat yang paling sempurna kerana meluasi segala sesuatu dan rahmat inilah yang mengeluarkan bintik hitam syaitan serta memenuhi rahmat didalam hati itu.

DISEBALIK DIBELAHNYA DADA NABI

Pengajaran daripada peristiwa tersebut adalah TASAWWUF atau PENYUCIAN JIWA. Sebelum diisrakkan untuk melihat kebesaran Allah Taala serta menerima pensyariatan Solat, Nabi disucikan dahulu hatinya daripada segala kekotoran hati.

Ini merupakan tarbiah daripada Allah kepada kita supaya apabila ingin ‘MENDEKATI’ ZatNya Yang Maha Suci perlulah ditakhallikan hati kita yakni dikosongkan hati kita daripada segala kekotoran (sifat mazmumah/maksiat). Kosongkan hati untuk Allah jua. Yang Suci tidak sama sekali ‘bersatu’ dengan yang kotor.

Dan pentakhallian itu hendaklah dengan melazimi akan segala zikir yang waridah daripada Nabi Muhammad SAW atau para alim Ulama serta berselawat keatas Baginda. Dinyatakan didalam Hasyiah Syarqawi ‘Ala Hudhudi, orang awam wajib melazimi zikir paling kurang 300 kali manakala bagi Ahli Sufi 12,000 kali.

Kemudian, Tahalli iaitu selepas dikosongkan hati daripada sifat mazmumah, diisikan hati tersebut itu dengan Sifat Mahmudah iaitu melakukan segala amal kebaikan berbentuk lahiriah seperti bersedekah dan sebagainya dan juga berbentuk batiniah seperti zuhud, wara’, takut, tawakkal dan sebagainya.

Akhirnya Tajalli, ini tidak boleh diusahakan para manusia. Ianya anugerah Allah kepada hambaNya yang terpilih. Hanya mereka yang telah mencapai maqam tertinggi iaitu ‘Khawwas Al-Khawwas’ dikurniakan Tajalli. Tajalli adalah mata hatinya sentiasa ‘nampak’ Allah.

 

PENSYARIATAN SOLAT LIMA WAKTU

Dinyatakan dalam sebuah hadis yang panjang (kami pendekkan):

Maka Allah mewahyukan kepadaku apa yang telah diwahyukan, difardhukan ke atasku lima puluh solat sehari semalam. Setelah itu aku turun berjumpa Nabi Musa lalu dia tanya: “Apa yang tuhan kamu telah fardhukan ke atas ummatmu?”. Aku menjawab: “Lima puluh solat”. Dia (Musa) berkata: “Kembalilah semula kepada Tuhanmu, mintalah padanya keringanan, sesungguhnya ummatmu tidak berdaya melaksanakannya, aku telah menguji Bani Israil akan hal sedemikian”.

Dia (Muhammad) telah berkata: “Aku telah kembali kepada Tuhanku ke atas umatku. Lalu dikurangkan terhadap permintaanku (lima solat). Aku pun pulang kepada Musa memberitahunya dikurangkan terhadapku lima solat. Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya umatmu tidak mampu yang demikian kembalilah kepada Tuhanmu dan mohonlah keringanan”.

Nabi Muhammad telah berkata: “Oleh itu aku sentiasa berulang alik di antara Tuhanku yang Maha Suci dengan Musa alaihissalam sehingga Allah berfirman: Wahai Muhammad sesungguhnya difardhukan solat lima waktu sehari semalam bagi setiap solat sepuluh kali ganda, yang demikian lima puluh solat.

Dan barangsiapa yang ingin melakukan kebaikan tetapi dia tidak melaksankannya dicatit baginya satu kebaikan, sekiranya dia melakukannya dicatit baginya sepuluh dan barangsiapa yang ingin melakukan keburukan tetapi dia tidak melaksanakannya tidak dicatit sesuatu pun baginya sebaliknya jika dia melakukannya dicatit hanya satu kejahatan sahaja”.

Nabi Muhammad berkata: “Aku telah turun hingga sampai kepada Musa dan memberitahunya”. Justeru itu, Musa berkata: “Kembalilah kepada Tuhanmu (iaitu tempat baginda mendengar Kalamullah), mohonlah keringanan”. Maka Rasulullah bersabda: “Aku telah berkata bahawa aku telah kembali kepada Tuhanku hingga aku berasa malu terhadapNya”. (H.R. Muslim)

Wallahua’lam

https://daurahharamain.com

Rujukan:

  1. Kifayah Al-Muhtaj, Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani.
  2. Al-Anwar Al-Bahiyah fi Israk wa Al-Mikraj Khair Al-Bariyah, Sayyid Muhammad bin Alawi Bin Abbas Al-Maliki Al-Hasani
  3. Penjelasan Peristiwa Israk dan Mikraj Dari Kacamata Ahli Sunnah Wal Jamaah, Ahmad Faidzurrahim Hj Mohd Alwi.
  4. Khilafiyah, Muhadir bin Haji Joll

 

 

WhatsApp WhatsApp Kami!