03-6735 7331 / 010-4036 786 daurahharamain@gmail.com

CARA MENUNAIKAN IBADAH UMRAH

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله انعم علينا بنعمة الإيمان والإسلام

والصلاة والسلام على الرسول خير الانام

وعلى آله بيته واصحابه الكرام

Assalamualaikum Wrh Wbt. InsyaAllah pada posting Panduan Ibadah Umrah kali ini kami ingin mengupas tentang cara pelaksanaan Umrah. Masyarakat Muslim Malaysia umumnya menyimpan didalam hati mereka untuk pergi ke Mekah dan Madinah. Itu merupakan cita-cita mereka bahkan ada yang bercita-cita untuk meninggal di Mekah atau di Madinah. Menunaikan Umrah merupakan  adalah perkara wajib hukumnya jika disisi Mazhab Syafi’i untuk kali yang pertama bagi mereka yang berkemampuan. Jom kita menimba ilmu untuk melaksanakan Umrah.

DEFINISI IBADAH UMRAH DAN RUKUNNYA

Definisi Umrah menurut lughah atau bahasa diterjemahkan sebagai Ziarah. Manakala di sudut hukum Syarak:

زيارة بيت الله الحرام للنسك

“Ziarah Masjidil Haram untuk melakukan ibadat tertentu”

Perbuatan ziarah ke Masjidil Haram itu bukanlah semata-mata ziarah yang difahami ziarah untuk pergi, lihat suasana disana tetapi perbuatan ziarah itu mesti disertai dengan ibadat tertentu seperti berniat ihram, tawaf, sa’ie dan bertahallul (cukur rambut).

Dalam melaksanakan ibadah Umrah ini, tidak dapat tidak jemaah perlu menimba ilmu terlebih dahulu bagi melaksanakannya supaya para jemaah tidak mengalami kebuntuan dan kekeliruan apabila berada di Masjidil Haram. Untuk itu, para jemaah atau yang bakal menunaikan Umrah (InsyaAllah amin) perlu mengetahui RUKUN dan SYARAT WAJIB Umrah. Apabila kedua perkara ini selesai dilaksanakan, maka Umrah hukumnya Sah disisi Hukum Syarak.

RUKUN UMRAH

  1. Berihram
  2. Tawaf Ifadhah
  3. Saie
  4. Tahallul (bercukur)
  5. Tertib

1. Berihram

Ibadah Umrah, ianya lebih kurang sama dengan Rukun Haji. Cuma perbezaannya, Rukun Umrah tiada rukun wuquf di Arafah. Permulaan Rukun Umrah adalah dengan berihram serta niat. Disyorkan kepada semua jemaah Umrah untuk memakai pakaian ihram terus di lapangan terbang bagi mengelakkan kesulitan berlaku. Namun jika mengikut hukum, memakai pakaian ihram adalah ketika sampainya di Miqat Yalamlam atau Miqat Qarnul Manazil (bagi jemaah datang dari Malaysia) dimana sejam sebelum sampai ke lapangan terbang Jeddah.

Ihram adalah perkara-perkara tertentu yang haram dilakukan ketika menunaikan Umrah. Jika jemaah melakukan juga perkara-perkara tersebut maka jemaah tersebut akan dikenakan dam (denda) yang telah ditetapkan. Perkara-perkara tersebut akan kami ceritakan dibawah. Niat ihram adalah seperti berikut:

نويت العمرة وأحرمت بها لله تعالى

“Sahaja aku mengerjakan Umrah dan aku berihram aku dengannya kerana Allah Taala”

Ibadah UmrahIbadah Umrah

1.1. Ihram di Miqat

Sesungguhnya Miqat itu terbahagi kepada dua:

  1. Miqat Zamani (Waktu): Miqat Waktu dengan Umrah adalah sepanjang tahun, tidak ada batas waktu tertentu.
  2. Miqat Makani (Tempat): Adalah tempat-tempat untuk melakukan ihram bagi yang hendak menunaikan haji atau umrah. Akan dinyatakan tempat-tempat tersebut.

 

i. Miqat bagi Penduduk Mekah: Iaitu memadailah di tempat yang berhampiran dengan Tanah halal yakni mereka perlu keluar dari Tanah Haram iaitu Tanah Halal dan sekitarnya dan tempat paling afdhal di Ja’ranah.

ii. Miqat Yalamlam: Miqat bagi mereka yang datang dari Tihamah, Yaman, India. Ada yang mengatakan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura (bagi mereka yang datang dari jalan laut)

iii. Miqat Zatul ‘Irqin: Miqat bagi mereka yang datang dari Iraq, Khurasan dan yang sejajar dengannya.

iv. Miqat Juhfah: Miqat bagi mereka yang datang dari Mesir, Maghribi, Syam, Afrika Utara, Libya, Tunisia, Algeria. Manakala bagi yang berdekatan atau berjiran dengan Juhfah adalah Rabigh.

v. Miqat Zul Hulaifah (Bir ‘Ali): Miqat bagi mereka yang datang dari Madinah dan daerah-daerah yang sejajar dengannya.

vi. Miqat Qarnul Manazil: Miqat bagi mereka yang datang dari Yaman, Najd, Hijaz, dan negeri-negeri yang sejajar dengannya. Juga bagi Jemaah dari Malaysia (melalui kapal terbang) terus ke Jeddah.

1.2. Larangan Semasa Berihram

Larangan bagi seseorang yang mengerjakan haji atau umrah setelah berihram adalah seperti berikut (bagi jemaah lelaki):

  1. Memakai pakaian yang berjahit, menyelubungi badan (bercantum) seperti seluar, kain sarung dan jubah
  2. Menutup kepala
  3. Memakai alas kaki yang menutupi seluruh kaki seperti kasut tetapi DIBOLEHKAN memakai selipar, sendal dan capal.
  4. Menyarung sarung tangan
  5. Memakai bau-bauan atau wangi-wangian
  6. Menyapu minyak rambut di kepala
  7. Memotong kuku dengan cara apa sekalipun
  8. Bercukur, gunting rambut, mencabut bulu badan
  9. Memburu atau membunuh binatang darat yang halal dimakan
  10. Melakukan perkara-perkara yang menaikkan syahwat.
  11. Melakukan persetubuhan, berjimak atau mengadakan hubungan seks
  12. Menebang atau memotong pokok, mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram
  13. Bernikah dan menjadi wali.

Larangan bagi jemaah perempuan:

  1. Menutup muka
  2. Memakai sarung tangan
  3. Guna bau-bauan atau wangi-wangian pada badan, pakaian atau di tempat tidur
  4. Memakai minyak rambut di kepala, berhias dengan berbedak atau memakai lipstik
  5. Menggunting rambut atau cabut bulu-bulu badan
  6. Memotong kuku dengan cara apa sekalipun
  7. Menebang atau memotong pokok, mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram
  8. Melakukan perkara-perkara yang membawa syahwat.
  9. Mengadakan hubungan seks
  10. Dilarang bernikah.
  11. Tidak boleh memburu atau membunuh binatang darat yang halal dimakan

2. Tawaf

Ibadah

( http://jumrah.com/Magz/2015-06/artikel/infofiqh/Thawaf.html )

Ibadah Tawaf itu adalah perbuatan mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali. Maksud Tawaf disini Tawaf Ifadhah yakni yang wajib ditunaikan kerana termasuk dalam Rukun Umrah. Adapun Tawaf Qudum (Tawaf Selamat Datang) dan Tawaf Wida’ (Tawaf Selamat Tinggal) itu sunat jua dilakukan.

Disisi Mazhab Syafie, tersentuh antara lelaki dan perempuan membatalkan wudhuk dan secara automatik akan membatalkan tawaf. Namun disini ada keringanan, di mana Mazhab Syafie untuk bertaqlid dengan Mazhab Maliki yang mengatakan bersentuh antara lelaki perempuan tidak membatalkan wudhuk. Seperti yang disebut Habib Hasan bin Ahmad Al-Kaff didalam kitabnya Taqrirat As-Sadidah:

 فَلَو لَمَسَتْهُ إمرَأَةٌ أَجنَبيةٌ بَطَلَ وُضُوءُهُ وبطل طوافُه وذلك عسيرفي الزِّحامِ فلا بَأسَ بِتَقلِيدِ الإمام مالك في ذَلِكَ فعليه -عندما يَتَوَضَّأ- أن يدلك أعضاءه ويمسح جَمِيعَ رَأْسِهِ

” Maka jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan ajnabi, batallah wudhuknya dan batallah tawafnya. Yang demikian itu adalah kesusahan (ketika berada dalam) keramaian. Maka dibolehkan untuk bertaqlid dengan Imam Malik (Mazhab Maliki) dalam permasalahan tersebut namun hendaklah seseorang itu (apabila berwudhuk) meratakan kesemua anggota dan menyapu keseluruhan kepala (ikut Mazhab Maliki “

Dan syarat wajib bagi tawaf itu ada 8:

  1. Menutup aurat
  2. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil
  3. Suci dirinya serta pakaian dan tempat tawafnya daripada najis
  4. Mengelilingi Kaabah dengan menjadikan Kaabah dipihak sebelah kiri
  5. Dimulai di Hajar Al-Aswad
  6. Hendaklah mengadap Hajar Al-Aswad disamping melakukan niat tawaf (dan tidak memesongkan niat Tawaf)
  7. Mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali
  8. Tawafnya didalam kawasan Masjidil Haram (termasuklah luar Kaabah, luar Syazarwan)

Manakala sunat bagi Tawaf terlalu banyak, kami hanya memetik 5 daripadanya:

  1. Tawaf dalam keadaan berjalan
  2. Tidak berkasut
  3. Mengucup Hajar Al-Aswad
  4. Baca zikir dan doa warid (yang diajar) daripada Nabi
  5. Percepatkan langkah untuk 3 pusingan yang pertama dan berjalan perlahan untuk 4 pusingan seterusnya.

3. Saie

Ibadah

(http://www.dalil-alhaj.com/my/alsai_mt_1.html)

Ibadah Saie adalah salah satu rukun daripada rukun Umrah. Ia adalah perbuatan yang dimulakan dari Safa menuju ke Marwah sebanyak 7 kali sahaja. Maka dikupas disini syarat wajib baginya:

  1. Bermula di Bukit Safa ke Marwah
  2. Ulang alik dari Bukit Safa ke Marwah
  3. Saie sebanyak 7 kali dengan yakin
  4. Mestilah dilaksanakan selepas daripada Tawaf

Manakala sunat Saie juga ada banyak, namun kami nyatakan hanya empat sahaja:

  1. Menghadap kearah Kaabah
  2. Melambai-lambai kedua belah tangan ke Kaabah
  3. Berlari-lari anak
  4. Doa, zikir atau baca Quran ketika bersaie.

4. Tahallul (Bercukur)

Ibadah Tahallul merupakan rukun terakhir didalam rukun Umrah iaitu satu perbuatan bercukur tau bergunting rambut di kepala. Jika seseorang itu botak maka tidak perlu dia bertahallul. Berikut adalah cara untuk Tahallul seperti tersebut dalam kitab Sabilal Muhtadin:

  1. Sekurang-kurangnya menghilangkan 3 helai rambut dengan apa cara sekalipun (gunting, cukur, bakar dsb)
  2. Mesti rambut di kepala bukan rambut selainnya seperti bulu janggut, badan dan sebagainya
  3. Dihilangkan 3 helai itu sekaligus.

 

RUJUKAN:

  1. Sablilal Muhtadin, Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari.
  2. Taqrirat As-Sadidah, Al-Habib Hassan bin Ahmad bin Muhammad Al-Kaff
  3. Syarah Safinah An-Naja, Ustaz Muhadir bin Haji Joll.
  4. Menyahut Panggilan Baitullah, Ustaz Shamsul Mohd Nor
  5. Indahnya Hidup Bersyariat, Mohd Azrul Azien Ab Hamid

 

Sila layari laman web kami: https://daurahharamain.com/

 

 

WhatsApp WhatsApp Kami!