03-6735 7331 / 010-4036 786 daurahharamain@gmail.com

SHEIKH WAN AHMAD AL-FATHANI : ULAMA MEKAH

Assalamualaikum Wrh Wbt.

Insya-Allah pada posting kali ini, kami akan membawakan kepada anda Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani pengenalan Alim ulama Mekah dari Nusantara. Sebenarnya ramai alim ulama kita yang mengajar di Makkah Al-Mukarramah khususnya di Masjidil Haram bahkan keilmuan mereka diiktiraf oleh Ulama Dunia hatta ulama Mekah serta penuntut ilmu dari Arab pun menuntut ilmu kepada mereka. Mereka (yakni Ulama Nusantara) menguasai ilmu bukan sekadar kepada satu-satu ilmu tetapi keilmuan mereka itu dalam pelbagai bidang. Antaranya ilmu Tauhid, Fiqh, Tasawwuf, Perubatan, Matematik, Falak atau Astronomi, Ilmu Hikmah, Sains, Tatabahasa Arab, Syair, Puisi dan pelbagai lagi jenis illmu. Pada posting ini kami memfokuskan kepada Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain Al-Fathani.

Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani dilahirkan pada malam Jumaat 5 Sya’ban 1272 Hijrah bersamaan dengan 10 April 1856 Masihi di Kampung Jambu, Fathani/Pattani.Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani merupakan ulama Mekah berketurunan Melayu yang dinisbahkan kepada Pattani (Al-Fathani) yang dahulunya terkenal sebuah empayar Melayu Pattani yang hebat serta tempat dimana lahirnya ulama-ulama Melayu yang bertaraf antarabangsa intelektualnya. Kalau ingin disebut ramai lagi ulama-ulama Melayu yang masyhur serata dunia selain Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani iaitu Sheikh Wan Daud bin Abdullah Al-Fathani, Sheikh Wan Ismail Bin Abdul Qadir Al-Fathani, Sheikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi dan lain-lain.

1.1. SALASILAH SYEIKH WAN AHMAD BIN WAN MUHAMMAD ZAIN AL-FATHANI

Menurut Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir yang merupakan cucu kepada ulama ini, ulama yang hebat dari nusantara ini namanya Sheikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zainal ‘Abidin (dikenal juga Wan Muhammad Zain) bin Datu Panglima Kaya Sheikh Haji Wan Musthafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal ‘Abidin (digelar Faqih Wan Musa Al-Jambui As-Sanawi Al-Fathani) bin Wan Muhammad Salih Al-Laqihi bin ‘Ali Al-Masyhur Al-Laqihi. Sheikh Ahmad merupakan ulama berketurunan Rasulullah yang bersambung salasilahnya melalui Ali Al-Masyhur Al-Laqihi iaitu”

  1. Sayyid ‘Ali Al-Masyhur Al-Laqihi bin
  2. Syeikh Jamaluddin Hussein Al-Kubra bin
  3. Ahmad Syah Jalal bin
  4. Abdullah atau Amir Abdullah Khan bin
  5. Abdul Malik bin
  6. ‘Alawi bin
  7. Muhammad Sahib Marbat bin
  8. ‘Ali Khali’ Qasam bin
  9. ‘Alawi bin
  10. Muhammad bin
  11. ‘Alawi bin
  12. ‘Abdullah atau ‘Ubaidullah bin
  13. Ahmad Al-Muhajir Al-Jarimi Al-Yamani
  14. ‘Isa Al-Naqib bin
  15. Muhammad Al-Faqih atau Muhammad An-Naqib bin
  16. ‘Ali Al-‘Uradli bin
  17. Ja’far As-Shadiq bin
  18. Muhammad Al-Baqir bin
  19. ‘Ali Zainal ‘Abidin bin
  20. Sayyidina Hussein bin
  21. Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib suami Sayyidatina Fatimah binti
  22. Nabi Muhammad SAW.

Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani adalah berketurunan Rasulullah melalui jalur Sayyid Jamaluddin Hussein Al-Kubra dan daripada beliaulah salasilah Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani bersambung kepada Nabi Muhammad SAW. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawasanya ramai saja Ulama Nusantara sama ada dari Malaysia, Indonesia dan Thailand ini berketurunan Rasulullah bahkan juga ulama yang alim pada zamannya mengatasi ulama-ulama Arab sendiri. Ketiadaan pengetahuan ini adalah disebabkan mereka kurang terdedah kepada pengajian tradisional seperti talaqqi dan kurang membaca. Apabila melibatkan diri dalam dunia pengajian talaqqi, kebiasaannya akan didedahkan kepada dunia ulama nusantara ataupun jika seseorang itu memang berminat dengan sejarah melayu dan Islam juga akan terdedah kepada dunia ulama nusantara.

1.2. CUCU SHEIKH WAN AHMAD AL-FATHANI (ALMARHUM USTAZ HAJI WAN SHAGHIR WAN ABDULLAH)

Sebagai contoh, Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir bin Wan Abdullah (cucu kepada Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani melalui jalur ibunya Hajjah Wan Zainab yang berkahwin dengan Wan Abdullah yang merupakan ayah kepada Almarhum) boleh dikatakan jasa beliau amat besar dalam mengumpulkan segala manuskrip-manuskrip lama ulama nusantara (Malaysia-Thailand-Indonesia-Kemboja-Brunei). Manuskrip yang dikumpul, disamping mendapatkan maklumat-maklumat tentang ilmu fardhu ain, salasilah ulama, sains dan teknologi, matematik, falak/astronomi, masakan dan juga lain lain ilmu, beliau membuat penulisan-penulisan tentang biografi ulama dan mencetak semula kitab-kitab serta manuskrip lama. Rentetan daripada itu,beliau menubuhkan Khazanah Fathaniyah dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara masing-masing pada tahun 1995 dan 1996. Sungguh, tanpa jasa beliau yang begitu besar ini berkemungkinan kita mungkin tidak mengenali susuk tubuh yang bernama Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani.

Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani Ulama Mekah

Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah merupakan cucu kepada Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani

(Sumber: http://khazanahfathaniyah.blogspot.my/)

 

1.3. KISAH SHEIKH WAN AHMAD AL-FATHANI DENGAN ULAMA MEKAH YANG LAIN

Ulama kita bukanlah ulama sembarangan. Menurut Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah, belum lagi sampai tiga puluh tahun umurnya  telah diakui sebagai seorang ulama besar yang menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan sekurang-sekurangya 47 jenis namun bagi Sheikh Ahmad Al-Fathani sendiri masih tetap dahaga kepada ilmu pengetahuan.

Menurut beliau lagi, dikatakan hebatnya Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani, pada suatu hari beliau mendatangi seorang ulama yang sangat terkenal di Masjidil Haram manakala Tuan Guru itu selesai mengajar. Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani menanyakan sesuatu masalah kepada Tuan Guru itu. Tuan Guru itu tidak mahu menjawab pertanyaannya, dengan demikian Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani telah maklum adanya lalu dia minta izin untuk meninggalkan majlis itu. Setelah dia pergi, murid-murid yang hadir dengan tercengang-cengang menanyakan kepada Tuan Guru, “Kenapa Tuan Guru tidak menjawab pertanyaan pemuda itu? Jangankan Tuan Guru kami pun dapat menjawabnya jiki diizinkan kami untuk menjawab. Siapakah pemuda itu?” Tuan Guru menjawab, “Tidakkah kamu kenal itulah Ahmad Az-Zaki Mesir yang berasal dari negeri Pattani bahawa ilmunya melebihi ilmuku. Kalau hanya itu yang ditanyakan mudah saja menjawabnya namun aku malu sekiranya dia menanyakan hal-hal yang lebih mendalam lagi. Oleh sebab itu aku sengaja tidak menjawab pertanyaannya”.

1.4.GURU-GURU SHEIKH WAN AHMAD AL-FATHANI : ULAMA MEKAH

Pada mulanya beliau dididik oleh bapanya sendiri, Haji Wan Muhammad Zain atau Haji Wan Din bin Wan Musthafa. Kemudian berguru pula kepada bapa saudaranya, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Wan Musthafa yang terkenal dengan gelaran “Tok Bendang Daya II yaitu seorang guru pondok yang sangat masyhur di Fathani pada pertengahan kedua abad kesembilan belas Miladiah/Masihi.

Antara ulama Mekah menjadi guru Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani:

  1. Ahmad Zaini bin Dahlan
  2. Hasbullah (Muhammad bin Sulaiman)
  3. Nik Dir Fathani (Abdul Qadir bin Abdur Rahman)
  4. Sayyid Hussein Al-Habsyi
  5. Sayyid Abu Bakri Syatha
  6. Sheikh Ahmad Ad-Dandarawi
  7. Sheikh Ibrahim Ar-Rasyidi
  8. Muhammad bin Ismail Daudi Al-Fathani @ Sheikh Nik Mat Kecik Al-Fathani
  9. Wan ‘Ali Kutan Al-Kalantani
  10. ‘Abdul Qadir bin ‘Abdur Rahman Al-Fathani
  11. ‘Abdur Rahman Al-Kabuli
  12. dan ramai lagi
1.5. Karya-Karya Kitab Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani (Bahasa Melayu)

Sudah dikenalpasti bahawa sesungguhnya Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani adalah merupakan ulama yang hebat, beliau juga seorang karyawan yang gigih. Senarai karyanya adalah seperti berikut:

1.5.1. Bahasa Melayu

  • Luqthatul ‘Ijlan fi ma Tamussu ilaihi Hajat Al-Insan
  • Bisyaratul ‘Amilin wa Nazharatul Ghafilin
  • ‘Iqdul Juman fi ‘Aqaid Al-Iman
  • Hadiqatul Azhar war Rayahin
  • Tuhfah Al-Ummah fi As-Solati ‘ala An-Nabi Ar-Rahmah
  • Tayyibul Ihsan fi Tibb Al-Insan
  • Faridah Al-Faraid fi ‘ilmi Al-‘Aqaid
  • Fatawa Al-Fathaniyah

1.6. Karya-Karya Kitab Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani (Bahasa Arab)

  • Jumanatut Tauhid
  • Tashil Nail Al-Amani
  • Minhaj As-Salam fi Syarh Hidayah Al-‘Awwam
  • Abniyatul Asmak wa Al-Af’al
  • Ilmu Isti’arah
  • dan banyak lagi

 

1.7. DETIK KEWAFATAN SHEIKH WAN AHMAD AL-FATHANI

Setiap yang bernyawa pasti mati, begitulah juga susuk tubuh ulama ini. Taqdir Allah pada sejak azali lagi telah menetapkan saat kematiannya pada malam Rabu tanggal 11 Zulhijjah 1325 bersamaan 14 Januari 1908. Jenazah Almarhum dikuburkan di Perkuburan Ma’la, Mekah.

Untuk menilai ketokohannya memadailah untuk difahami sendiri akan kata-kata berikut: “Aku, kalau Tok Guru Wan Ahmad tak (belum) mati. Aku tak turun (pulang) lagi”. Ucap Almarhum Tuan Guru Haji Yusuf Kenali (Tok Kenali) yang sempat berguru dengannya selama 20 tahun (1305 hingga 1325 Hijriyah). Tok Kenali pulang ke Kelantan pada tahun 1327 Hijriyah.

Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani Ulama Mekah

Haji Yusuf Kenali atau Tok Kenali merupakan anak murid Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani

(Sumber: https://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/09/14/siri-ulama-kpsk-tok-kenali/)

والله اعلم بالصواب

Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani Ulama Mekah

Tulisan Almarhum Haji Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah

(Sumber: https://al-faedah.blogspot.my/2014/11/wahabi-dari-kaca-mata-sheikh-ahmad.html)

Sheikh Wan Ahmad Al-Fathani Ulama Mekah

Karya Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah

(Sumber: http://thereadinggroupmalaysia.blogspot.my/2012/)

Rujukan:

  1. Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam (Jilid 1), Haji Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah, Khazanah Fathaniyah.
  2. Penyebaran Islam & Silsilah Ulama Sejagat Dunia Melayu (Jilid 1), Haji Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah, Khazanah Fathaniyah.
  3. Ulama Besar Dari Fathani (edisi kedua), Ahmad Fathi Al-Fathani, Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
  4. Cerita lisan Al-Fadhil Ustaz Abdul Halim bin Muhammad bin Haji Hasan (Khazanah Fathaniyah)
  5. Cerita lisan Muhammad Faiz bin Azmi (USIM)

 

Ditulis oleh Muhammad Amir Ashraf https://daurahharamain.com/

WhatsApp WhatsApp Kami!